Aku dan Kuala Lumpur

Aku lahir di Hospital Bersalin Kuala Lumpur pada tanggal 27 januari 1989 . Dimana pada tahun itu jugalah tahun yang mencatat sejarah Pasukan Bola Kebangsaan yang berjaya merangkul emas pada Piala Sukan Asean, sebelum kejayaan itu dirangkul sekali lagi selepas aku berusia 20 tahun. Sejak aku lahir lagi aku telah dibesarkan dikota metropolitan Kuala Lumpur. Namun selepas itu aku berpindah ke Johor Bahru kerana ayahku dipindahkan berkerja di UTM (Skudai). Lalu menghabiskan sisa persekolahanku di Sekolah Rendah Kebangsaan Senai, Sekolah Menenggah Kebangsaan Senai dan akhirnya menamatkan persekolahanku dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman
Universiti Satu, Skudai.

Namun setelah aku menamatkan zaman persekolahan ku. Aku dan keluarga kembali berpindah ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan Sepanjang aku lahir, hinggalah kini Kuala Lumpur bukanlah satu tempat asing bagi aku. Hampir segala ruang pernah aku terokai hinggalah pada satu ketika aku sedar yang aku tidak pernah langsung menerokai keindahan sebenar yang berada di Kuala Lumpur.Bayangkan aku, yang dikatakan lahir dan menetap disini tidak pernah langsung berkunjung ke Tugu Peringatan Negara, Muzium Negara, KL Tower dan banyak lagi tempat yang tidak mungkin dapat aku tuliskan disini.

Aku seorang pencinta sejarah, aku pernah bersusah payah pergi melihat sendiri dimana letaknya kawasan sejarah dunia iaitu di sepanjang sungai Penarikan yang membawa aku melihat sungai Jempol dan Sungai Perak bertemu. Kawasan yang dipangil Londar siam yang penuh dengan mitos cerita ular sawa putih dan kematian tenteranya. Istana Singgah yang menjadi tempat persingahan diraja satu ketika dahulu. Tapak surau lama yang dikira wujud kira-kira beratus tahun dahulu didepan mataku sendiri. Aku pernah pergi menerokai hutan untuk ketapak perkuburan lama yang terletak jauh sehingga kedalam belukar yang dikatakan adalah kubur-kubur perdagang yang meninggal didalam perjalanan mereka berdagang.

Aku pernah melawat keindahan sejarah Kota Melaka sebanyak lebih kurang lima kali. Aku juga pernah menelusuri tapak yang dikatakan mitos batu belah batu bertangkup. Melihat sendiri keindahan binaan Istana Seri Menanti dan mengkaji tapak warisan sejarah yang masih belum dikenali rakyat Malaysia dengan kerjasama pegawai Kemeterian Warisan iaitu En Siri Neng Buah semasa mahu membuat kajian bagi mendapat maklumat tapak warisan yang belum diketahui umum. Aku pernah diajar sedikit sebanyak bagaimana pembentukkan lembah yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini, bagaimana besarnya jalan air dan hasil peninggalan kesan yang menunjukkan bertapa tingginya paras dan luasnya kawasan laluan air yang kini telah dimamah zaman menjadi sungai sekecil sungai terpencil yang biasa kita lihat kini.

Benarlah kata orang, sedangkan kuman diseberang lautan kita nampak gajah disebelah kita tak tahu. Begitulah aku, maka pada tanggal 19 januari 2009 aku telah mengambil keputusan untuk pergi memberi ruang dan menjelajah ke sekitar kawasan bersejarah di Kuala Lumpur. Ketika itu baru aku tersedar kawasan yang ingin aku jelajahi itu adalah kawasan yang hampir berpuluh kali aku lalui. Namun sikap lalai dan mengambil ringan membuatkan hatiku tidak terdetik dan tertarik untuk kesitu. Apa yang hendak aku sampaikan disini hanyalah satu pengakuan ikhlas bagi mengingatkan diri aku sendiri supaya sentiasa mengambil perhatian , mengambil tahu akan apa yang berada disekelilingku sebelum aku mendekati sesuatu yang lebih jauh dan mendalam. Aku bersyukur kepada-Nya yang menyedarkan aku dari terus buta melihat kehadapan dan sempat berpaling sebelum aku tergadah dibumi sendiri.

Disini aku kepilkan secebis kenangan semasa aku melawat di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

0 comments:

Post a Comment

Pages

Powered by Blogger.

Copyright © / IniNoorNazirahHani

Template by : Urang-kurai / powered by :blogger